Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!
KELUARGA

Wahai Para Suami, Mari Selami Hati Bidadari Anda

Ramai orang bertanya saya;

”Ustaz, betul ke bila suami sakitkan hati bidadarinya iaitu isterinya rezekinya akan jadi sempit. Rezeki yang ada pun boleh hilang.”

”Betul ke doa seorang isteri itu makbul. Benarkah semua orang yang berjaya di belakangnya ialah doa isterinya dan doa ibunya? Doa dan esakan hati mereka itu didengari”

Siapa bersyukur (menghargai) maka Allah akan tambahkan nikmatnya. Siapa kufur (ingkar khianat tidak jujur) Allah beri azab yang pedih.

Orang yang paling banyak berkorban asbab manusia, ada dalam dunia ini ada 3 orang. Pengorbanan mati separuh nyawa seorang ibu, seorang ibu mertua dan seorang isteri yang melahirkan anak kita.

Hargailah wanita ini dan lihatlah bagaimana Allah memberi nikmat dan rezeki kepadanya. Orang yang tidak mengasihi, dia tidak dikasihi.

Jangan ada sekelumit pun sangkaan jahat pada orang terutama kepada 3 wanita ini. Jangan kasar atau pandang rendah kepada 3 wanita ini. Jangan kedekut kepada mereka.

Saya teringat masa bidadari saya bersalin anak kami yang pertama. Teringat jeritannya, kami sama-sama membaca;

“Laa ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minazzolimin.”

Bila permata kami selamat keluar, bidadari saya pengsan kerana kepenatan susah nak keluar. Doktor ulang kali sebut;

“Tolong push kuat-kuat. Nanti baby lemas.

Seorang nurse tekan dari atas perut. Seorang lagi saya tengok tengah guna gunting atau pisau di bawah. Ya Allah, saya menangis.

“Ya Allah, ampunkan dosaku. Ya Allah, selamatkan bidadariku. Selamatkanlah anakku. Tengok jeritan, kesakitan, peluh, darah, tekanan yang dialaminya. Ya Allah. Ya Allah begitu kuat dan cinta ikhlas dalam hati seorang wanita.”

Bila anak keluar isteri saya pengsan tidak sedar. Sebelum pengsan sempat beliau meminta maaf. Katanya;

“Maafkan saya abang, maafkan saya.”

Saat bayi diletakkan dalam pelukan, barulah segala kesakitan seolah-olah hilang. Ya Allah..

Masa anak kedua, ketiga dan keempat beliau perlu melakukan pembedahan. Ya Allah, saya sangka belah perut terus ambil anak rupanya. Berlapis-lapis. Sampai bahagian dalam.

Dengan darah kesakitannya. Saya menangis, sambil pegang tangan isteri dan usap dahinya. Abang sayang bidadari abang ini. Abang cinta sayang bidadari abang.

Selepas dikeluarkan, suasananya kelihatan jahit satu-satu lapis perut. Dah macam apa perut itu. Dengan darah penuh. Ya Allah.

Setiap kali saya dianugerahkan anak, saya akan azan dan iqamah. Selalu sebak. Sebab doa tangisan Nabi S.A.W, anak saya dapat kenal Allah.

Terasa rindu ibu yang melahirkan saya. Kerana itu bagaimana seorang lelaki itu boleh berjaya tanpa rasa syukur yakni menghargai pengorbanan wanita dalam hidupnya.

Nabi Ibrahim A.S, Saidatina Hajar dan Ismail A.S berkorban kerana Allah. Nabi Ibrahim telah berusaha menjadi ayah dan suami yang baik. Bimbing keluarganya mencapai reda Allah dan masuk syurga.

Sebagai suami yang baik. Bimbinglah isteri dan anak-anak cintakan Allah dan Nabi S.A.W. Bahagiakanlah hati mereka. Jangan kedekut untuk memberikan duit dan hadiah kepada isteri dan ibu kita.

Tidak akan pernah berjaya orang yang tidak menghargai isterinya. Yang tidak menghargai ibunya. Jagalah amanah Allah ini. Pasti Allah akan jaga kita. Bimbing mereka masuk syurga.

Buat seorang suami, berusaha dan berdoalah supaya dapat bersama dan memberi semangat pada isteri di saat mereka bersalin kerana itulah saat sakit teramat.

Lihatlah pasti hati keras mana akan berderai dengan air mata. Kita akan kembali jatuh cinta dengan isteri kita di saat melihat mereka berkorban nyawa.

Oleh Ebit Liew

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *