Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!
KESIHATAN

Pandangan Imam Ghazali Tentang Stres Ini Mampu Membuka Mata

Perkataan stres sebenarnya berasal daripada perkataan Greek ‘stringere’ yang membawa maksud tegang. Perkataan stres mula-mula digunakan oleh seorang penyair Inggeris Robert Mannyng dalam karyanya bertajuk ‘Handlying Synne’ pada tahun 1303 Masihi dengan ejaan stres.

Selepas kurun ke-14 perkataan tersebut digunakan secara meluas dalam Bahasa Inggeris seperti stresse, stresce, strest dan straisse.

Perkataan stres dalam Bahasa Arab pula disebut ‘dahgt nafsi’ (ضغط النفس ). Dalam Mu‘ jam Ilm al-Nafs, tekanan merupakan suatu keadaan di mana faktor luaran menekan seseorang sehingga mengakibatkan seseorang itu merasa tertekan (tension).

Ia juga berlaku apabila seseorang itu berhadapan dengan situasi di mana tuntutan kehidupannya terlalu banyak dan melangkaui keupayaannya.

Punca Stres Mengikut Imam Al-Ghazali

Imam Al-Ghazali tidak menggunakan istilah stres atau ضغط secara spesifik dalam karyanya namun isu ini dihuraikan di bawah topik yang lebih rinci dan mendalam seperti penyakit hati dan emosi seperti takabbur, riya’, dengki, buruk sangka, melakukan maksiat, berakhlak buruk, dan mengumpul harta.

Beliau berpendapat bahawa segala masalah ini berlaku kerana perasaan dan sikap yang cinta kepada dunia yang akhirnya membawa kepada masalah tekanan dalam hidup.

Perumpamaan Imam Ghazali Tentang Kehidupan Dunia

Imam Ghazali mengumpamakan kesibukan mengurus urusan dunia sehingga melupakan akhirat seperti keadaan satu kaum yang menaiki sebuah kapal yang berhenti di sebuah pulau.

Apabila sampai di sebuah pulau, semua penumpang diminta turun bagi menunaikan keperluan masing-masing dan diingatkan supaya tidak terlalu lama kerana takut ketinggalan pula nantinya.

Maka berpisahlah kaum tadi meneliti setiap sudut pulau tersebut mengikut kemahuan masing-masing. Ada di antara mereka segera menaiki kapal selepas menyelesaikan keperluan dan memilih tempat duduk yang lebih selesa.

Ada pula di antara mereka yang terpukau dengan keindahan pulau, memandang kepada keindahan bunga-bungaan yang mengembang, kicauan burung-burung yang mempersona pendengaran telinga dan mutiara-mutiara yang terhampar di daratan dalam pelbagai bentuk dan warna yang kesemuanya memukau pandangan mata.

Namun akhirnya teringat bahawa mereka perlu pulang segera ke kapal tetapi mendapat tempat yang sempit. Ada pula di kalangan mereka teruja dengan kecantikan mutiara dan batu-batu yang berharga lalu mengambilnya dan membawa masuk ke kapal.

Malangnya mereka ini mendapat tempat yang sempit dan menjadi semakin sempit disebabkan mutiara dan batu-batu yang dibawa bersama. Disebabkan terlalu sempitnya tempat di dalam kapal tersebut sehingga tiada ruang untuk diletakkan mutiara dan batu-batu tersebut, mereka menggantungkannya pada leher mereka.

Mereka mula menyesal membawa batu dan mutiara tersebut namun tidak pula berhasrat mencampakkannya sahaja ke lautan. Ada pula di kalangan mereka masuk terlalu jauh ke dalam hutan dan disibukkan dengan memakan buah-buahan dan pohon-pohon yang rendang.

Namun dalam masa yang sama disebabkan sudah terlalu jauh berjalan, mereka juga diselubungi perasan takut kepada binatang buas dan kaki mereka pula ditusuk duri serta pakaian mereka dikoyakkan oleh ranting-ranting kayu.

Apabila mereka terdengar panggilan kelasi kapal, mereka datang ke kapal dalam keadaan yang sukar dan tempat kosongpun sudah tiada lagi, lalu mereka ditinggalkan di tepi-tepi pantai sehingga mati kelaparan.

Sesetengah daripada mereka pula tidak kedengaran panggilan kelasi kapal lalu kapal berlayar meninggalkannya. Akhirnya ada yang dimakan binatang buas, ada yang sesat kerana berjalan tanpa tujuan, ada juga yang mati di dalam lumpur dan ada yang digigit ular.

Manakala individu yang berada di dalam kapal dengan membawa bunga-bungaan dan mutiara berharga, barang-barang tersebut melekakannya dan hati mereka disibukkan dengan menjaga barang-barang tersebut kerana takut hilang.

Lama kelamaan bunga-bunga itu layu dan menjadi busuk lalu mereka tiada pilihan lain melainkan mencampakkannya ke dalam laut.

Perumpamaan yang diberikan ini cukup untuk menggambarkan kehidupan seorang manusia di dunia. Pulau tersebut umpama dunia yang terkandung banyak hiasan yang memukau mata. Ada yang menyedari bahawa persinggahan di pulau tersebut hanya sebentar, jadi hanya mengambil sekadar yang perlu sahaja, menunaikan hajat dan terus naik semula ke kapal.

Saranan Imam Ghazali Dalam Mengatasi Tekanan Dalam Hidup

Tekanan hadir apabila berlaku ketidakseimbangan dalam kehidupan. Kata Imam Ghazali; pada mengingati kematian itu terdapat pahala dan kelebihan. Bagi orang yang terlalu cintakan dunia, mengingati kematian ada faedah lantaran dia dapat merenggangkan dirinya daripada urusan dunia. Selain itu antara saranan lain yang diberikan bagi mengatasi tekanan hidup adalah seperti di bawah.

1. Mujahadah Mengawal Nafsu

2. Menginsafi Bahawa Kehidupan Di Dunia Ini Sementara

3. Memperbanyakkan Zikir

4. Bertafakkur

5. Memanfaatkan Setiap Perkara Di Dunia Ini Sekadar Keperluan Sahaja

“Sesiapa yang ada padanya dua sifat ini akan dicatat di sisi Allah SWT sebagai orang yang bersyukur dan sabar dan sesiapa yang tiada sifat-sifat ini pula tidak akan dicatat di sisi Allah SWT sebagai orang yang bersyukur dan sabar iaitu sesiapa yang melihat urusan agamanya kepada orang yang lebih tinggi daripadanya maka dia terdorong untuk mencontohinya (mengikutnya),

dan sesiapa yang melihat urusan dunianya kepada orang yang lebih rendah daripada dirinya nescaya dia akan mensyukuri nikmat-Nya di atas kelebihannya berbanding orang tersebut maka dicatat Allah sebagai seorang yang sabar lagi bersyukur.(Hadith riwayat al-Tirmidhi, Sunan al-Tirmidhi, Kitab Sifat alQiyamah wa al-Raqa’iq wa al-War‘)

Islam mementingkan pencegahan serta penjagaan, maka kerana itulah konsep kesederhanaan sentiasa dianjurkan dalam apa jua perkara yang dilakukan. Langkah ini diambil bagi mengelakkan berlakunya masalah yang mampu membawa tekanan yang melampau dalam hidup.

Namun sederhana dalam Islam bukan bermaksud sama pembahagiannya atau 50:50. Menurut Ustaz Iqbal Zain, maksud kesederhanaan dalam konteks Islam ialah meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya yang betul dan tepat selari dengan syariat secara adil, berhikmah dan beradab.

Allah menciptakan setiap suatu di dunia ini- bumi, langit, bahkan penciptaan manusia dengan nilai-nilai keseimbangan, maka tanggungjawab kita pula untuk menjaga keseimbangan tersebut- pada diri dan juga kehidupan kita seluruhnya.

Sumber:
Kaedah Mengatasi Tekanan Dari Perspektif al-Ghazali

Dikongsikan oleh Natirah Azira

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *