Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!
KELUARGA, PETUA, RUMAHTANGGA, TIPS

Anak Degil Ada Sebabnya. Ibu Ayah Jangan Cepat Marah, Kena Pandang Secara Positif

Boleh dapat ‘darah tinggi’ rasanya jika tiap-tiap hari kena jerit pada anak supaya berkelakuan baik. Namun setiap hari marah anak masih tidak berubah. Seolah-olah marah itu tidak memberi sebarang kesan padanya. Bersama pakar motivasi kekeluargaan,  Dr. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad mengulas perihal anak yang bersikap nakal, degil dan tidak mendengar kata ibu bapa.

Ibu bapa mudah melabelkan anak-anak secara negatif. Apabila anaknya degil atau enggan mendengar kata maka terus membuat kesimpulan ia adalah tingkah laku yang negatif. Perlu diingatkan, setiap tingkah laku anak-anak berbeza kerana mereka membesar sebagai individu yang berbeza daripada segi watak dan peribadinya.

Degil itu dilihat sebagai negatif disebabkan anak-anak tidak mendengar kata nasihat yang ibu bapa berikan. Sebaliknya, jika dilihat dari satu sudut lain pula, degil itu membuktikan bahawa anak-anak tetap dengan kemahuan dan pendiriannya. Sifat degil sebegini perlu ada jika anak mahu berjaya satu hari nanti. Kejayaan memerlukan seseorang itu berdepan dengan masalah, cabaran dan ujian. Hanya mereka yang degil sahaja yang mampu melepasi semua ini. Oleh itu, adalah satu kesilapan sekiranya ibu bapa mahu agar sifat degil anak itu dibuang terus.

Sebenarnya, apa yang perlu dilakukan ialah menyalurkan sikap degil ini secara positif dan betul. Anak-anak yang masih kecil tidak mampu membezakan antara degil yang positif dan degil yang negatif. Oleh itu, menjadi tanggung jawab ibu bapa untuk membantunya.

Karakter anak degil

  • Suka melakukan sesuatu ikut kehendaknya
  • Tidak mendengar arahan atau nasihat
  • Persisten dalam melakukan sesuatu hingga berjaya atau selesai
  • Menunjukkan sikap kepimpinan dan ada kalanya macam bos
  • Tidak bergantung pada orang lain
  • Suka lakukan apa yang dilarang

Cara pengendalian

  • Hargai sifat semula jadinya yang degil itu.
  • Banyakkan berkomunikasi dan tanya apa yang dia mahu lakukan atau capai.
  • Beritahu padanya, pastinya anak gembira jika boleh lakukan sesuatu yang juga membuatkan anda sebagai ibu bapa gembira.
  • Berikan dia alternatif untuk salurkan kehendaknya dalam situasi yang sesuai dan tidak berbahaya.
  • Puji apabila anak mula mendengar nasihat atau cakap anda.

Berikut adalah contoh perbualan positif seorang ibu kepada anaknya.

Situasi: Imran seorang anak yang keras hati (degil). Walau pun telah dinasihati banyak kali, dia tetap akan panjat tepi tangga untuk naik ke atas dan ini membahayakannya.

Ibu : Imran, ibu tahu Imran suka memanjat betul?

Imran : Betul ibu

Ibu : Ibu pun suka apabila Imran memanjat, ia menujukan bahawa Imran seorang yang berani dan sukakan cabaran. Agak-agaknya kenapa ibu selalu bising apabila Imran memanjat?

Imran : Tak tahu.

Ibu : Cuba Imran fikir apa boleh berlaku jika Imran salah panjat atau terlepas tangan?

Imran : Imran akan jatuh.

Ibu : Kalau jatuh sakit tak?

Imran : Sakit.

Ibu : Sebab itulah ibu bising, sebab ibu sayang Imran. Kalau Imran betul-betul suka memanjat ibu akan bawa Imran ke Mall pada hujung minggu ini, dan dalam tu ada tempat untuk kanak-kanak panjat-panjat. Di situ Imran boleh panjat sesuka hati, tetapi kena janji dengan ibu untuk tidak panjat tangga lagi, boleh?

Imran : Betul ker ni ibu?

Ibu : Betul ibu janji.

Imran : Yeay, ok Imran janji takkan panjat di situ lagi.

Ibu : Hah, macam itulah anak ibu. Ibu suka apabila Imran mendengar kata. (Sambil peluk atau usap kepalanya)

Contoh perbualan di atas jelas menunjukkan ibu menghargai kedegilan anak, menyatakan sebab kenapa dia dihalang untuk meneruskan kelakuannya dan menawarkan alternatif baru untuk disalurkan kesukaan dan bakatnya. Akhir sekali, ibu memuji anak.

Dengan pendekatan sebegitu, anak-anak akan membesar dengan jiwa yang kuat. Mereka memiliki kecerdasan emosi (EQ) yang tinggi. Kekuatan emosi membentuk anak-anak yang berakhlak mulia dan memiliki nilai moral yang tinggi. Mereka tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan masa depannya. Mereka berfikir sebelum bertindak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *