Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!
KESIHATAN

Madu yang tersimpan lama boleh sebabkan Kanser?

Akhbar Cosmo (Mei 2017) dalam berita berjudul Madu Lama Boleh Cetus Kanser melaporkan bahawa Pensyarah Pusat Genom Manusia, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Gan Siew Hua menyarankan orang ramai hanya memakan madu yang disimpan dalam tempoh setahun sahaja bagi mengelakkan risiko kanser.
Beliau juga menyarankan agar orang ramai mengikis kepercayaan bahawa madu tidak ada tarikh luput. Menurut beliau, madu yang disimpan terlalu lama di samping beberapa faktor lain didapati mengandungi 5-hidroksimetilfurfural (5-HMF atau HMF) pada kepekatan lebih tinggi.

Faktor-faktor lain yang dimaksudkan ialah madu dipanaskan dalam jangka masa panjang dan suhu tinggi semasa pemprosesan atau disimpan di tempat yang tidak sesuai. Kepekatan HMF yang tinggi dipercayai meningkatkan kesan karsinogenik atau pencetus kanser khususnya kanser usus dan masalah hati.

Pencerahan

HMF merupakan sebatian derivatif furan yang terdiri daripada cincin furan yang mengandungi kumpulan alkohol dan aldehid. Furan dan beberapa derivatifnya (furfural, alkohol furfural, HMF dan furfural acetate) wujud secara semula jadi dalam pelbagai makanan. Sepertimana furan, HMF dikatakan bersifat reaktif yang berpotensi merosakkan DNA, menyebabkan sel-sel bermutasi dan seterusnya menyebabkan kanser.

Pembinaan HMF dikatakan berlaku secara semula jadi pada kebanyakan madu hasil penguraian fruktosa dengan kehadiran asid (tindak-balas Maillard). HMF biasanya meningkat apabila disimpan lebih lama atau diproses menggunakan haba. Pembinaan dan pengumpulan HMF dalam madu berbeza-beza bergantung kepada jenis madu.

Pelbagai Makanan

HMF juga terdapat dalam pelbagai makanan termasuk antara lain kopi (biji kopi panggang dan air kopi), susu formula, emping sarapan pagi, buah-buahan kering, produk-produk daging terproses, kicap, jus terproses dan makanan bayi terproses berasaskan buah-buahan.

Kandungan HMF dalam makanan misalnya kopi, kurma dan plum masing-masing didapati pada paras 91.3–3,060 mg/kg, 1,000 mg/kg dan 1,100-2,000 mg/kg.

Sebuah kajian mendapati HMF pada madu yang disimpan selama dua tahun meningkat daripada nilai awal 12.19 mg/kg kepada 1,344 mg/kg. Kajian lain menunjukkan kepekatan HMF dalam larutan kopi (air kopi) boleh mencecah sehingga 6,180 mg/kg.

Sila semak kajian berbentuk semakan berjudul 5-Hydroxymethyl-2-Furfural (HMF) – Heat-Induced Formation, Occurrence in Food and Biotransformation – a Review (Polish Journal of Food and Nutrition Sciences, 2013).

Setelah menyemak kajian-kajian terdahulu daripada pelbagai sudut, para saintis penyelidik kajian tersebut, Dr Stanislaw Kowalski dan rakan-rakan membuat kesimpulan bahawa tiada bukti relevan mengenai potensi ketoksikan (kepada sel/gen) HMF kepada kesihatan manusia.

Pelihara Sel dan Antitumor

Kajian-kajian terkini menunjukkan HMF memiliki sifat-sifat bermanfaat kepada kesihatan seperti antioksidan, antiradang, sitoprotektif (memelihara sel) dan antitumor.

Sila semak kajian-kajian berjudul 5-Hydroxymethylfurfural from black garlic extract prevents TNFα-induced monocytic cell adhesion to HUVECs by suppression of vascular cell adhesion molecule-1 expression, reactive oxygen species generation and NF-κB activation (Phytotherapy Research, 2011) dan In vitro antioxidant and antiproliferative activities of 5-hydroxymethylfurfural (Journal Agricultural and Food Chemistry, 2013).

Sila semak juga dua kajian berikut iaitu 5-Hydroxymethylfurfural, an antioxidant agent from Alpinia oxyphylla Miq. improves cognitive impairment in Aβ1–42 mouse model of Alzheimer’s disease (International Immunopharmacology, 2014) dan Ameliorative Effects of 5-Hydroxymethyl-2-furfural (5-HMF) from Schisandra chinensis on Alcoholic Liver Oxidative Injury in Mice (International Journal of Molecular Sciences, 2015).

Dr Klaus Abraham pula dalam kajiannya berjudul Toxicology and risk assessment of 5-Hydroxymethylfurfural in food (Molecular Nutrition & Food Research, 2011) menyatakan bahawa keputusan daripada kajian-kajian jangka pendek menggunakan 5-HMF yang menjangka pertumbuhan tisu tidak normal dalam trek usus adalah negatif. Jadi, HMF tidak wajar diterjemahkan sebagai karsinogenik.

Dalam abstrak kajian sama dinyatakan bahawa kajian jangka panjang pada tikus menunjukkan tiada pembentukan tumor atau tahapan precursor (tumor) dicetuskan oleh HMF selain adenoma (tumor tidak berbahaya) pada hati (kajian) yang diragui.

Pandangan Penulis

Madu disimpan lebih setahun selamat dimakan seperti amalan orang dulu-dulu. Ia berdasarkan kesimpulan Dr Kowalski iaitu tiada bukti ketoksikan HMF dan Dr Abraham yang merumuskan bahawa HMF tidak karsinogenik dan genotoksik.

Sebaliknya, HMF yang didapati bersifat antioksidan, antiradang, antitumor dan antiproliferatif (cegah penyebaran sel kanser) dipercayai berpotensi secara epigenetik mengatasi kanser yang dicetuskan HMF – seandainya HMF benar-benar didapati bersifat karsinogen.

Epigenetik ialah pengubahan ekspresi gen tanpa mengubah urutan DNA. Pelbagai fitonutrien dengan sifat-sifat serupa dan berbeza terdapat pada madu asli yang bertindak secara epigenetik bersinergi dengan aktiviti sifat-sifat HMF. Sila semak kajian Epigenetic activities of flavonoids in the prevention and treatment of cancer (Clinical Epigenetics, 2015).

Pengubahsuaian epigenetik cara hidup sihat termasuk makanan yang kaya antioksidan dipercayai menambahkan sinergi yang berlipat kali ganda. Sifat antioksidan dan antiradang HMF juga yang disinergikan dengan amalan cara hidup sihat termasuk makanan kaya antioksidan dipercayai membantu mencegah kerosakan hati (antihepatotoxic).sumber ;SH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *