Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!
PETUA

Keresahan: Pencegahan dan cara meredakannya

Rasa bimbang, risau, gelisah atau cemas mengenai sesuatu yang akan berlaku merupakan sifat utama keresahan yang boleh dialami oleh sesiapa sahaja. Sesuatu yang akan berlaku itu boleh jadi sama ada keadaan yang telah dijangka, tidak dijangka dan tidak semestinya sesuatu yang buruk. Bermain dengan perasaan dengan mengandaikan sesuatu yang akan berlaku tidak kira sama ada sesuatu yang sudah dijangka atau pun tidak juga boleh membuatkan anda menjadi resah.

Jika rasa resah yang dialami terlalu ekstrem dan dialami lebih daripada enam bulan serta mengganggu kehidupan maka ia dikelaskan sebagai masalah/gangguan keresahan (anxiety disorder).

PERBEZAAN

Keresahan biasa (normal anxiety) memang tidak menyeronokkan namun ia memberi motivasi kepada anda untuk berkerja lebih keras atau berusaha mendapatkan sesuatu dengan semangat dan kaedah yang lebih baik. Ia adalah perasaan yang datang dan pergi dan apabila dialami oleh seseorang yang berfikiran matang ia tidak mengganggu aktiviti harian.

Dalam kes masalah keresahan pula rasa bimbang dialami oleh anda sepanjang masa. Perasaan resah dan risau yang dialami dirasakan berat dan kadang-kadang membebankan otak. Pada sesetengah orang ia akan mengganggu aktiviti harian termasuk boleh mengurangkan produktiviti.

GANGGUAN TIPIKAL

Masalah keresahan dikatakan merupakan bentuk gangguan emosi paling tipikal yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja pada pelbagai peringkat umur. Menurut Persatuan Psikiatrik Amerika (American Psychiatric Association), kaum wanita lebih mudah didiagnos dengan masalah keresahan berbanding kaum lelaki.

Sesetengah orang yang mengalami keresahan, pada masa sama mereka juga mungkin mengalami kemurungan. Untuk mengurangkan rasa risau sesetengah orang dengan tanpa berfikir panjang akan mengambil dadah terlarang atau minum arak. Sesetengah perokok akan menghisap lebih banyak rokok. Ada juga yang akan mengambil makanan yang manis-manis.Keresahan yang dialami seseorang berfikiran matang tidak akan menggugat aktiviti harian.

Semua langkah tersebut dikatakan membantu meredakan keresahan namun dalam bentuk penyelamat sementara. Pengambilan bahan-bahan tersebut tidak membebaskan anda daripada belenggu keresahan. Dadah dan alkohol melencongkan minda waras anda kepada rasa ‘high.’ Gula dibuktikan oleh kajian lebih buruk kesannya berbanding koken. Lebih kerap merokok juga hanya menyumbang ‘ketenangan’ sementara.

Individu berbeza mengalami perasaan resah yang berbeza-beza. Sesetengah orang mungkin merasakan diri mereka seolah-olah berdiri di tengah-tengah runtuhan bangunan dan hanya sekaki payung yang dimiliki digunakan untuk mempertahankan diri. Ada yang merasa seolah-olah memegang kerusi merry-go-round yang bergerak 100 kilometer per jam dan mereka tidak berpuaya untuk memberhentikannya.

Ada juga yang merasa kecut perut (butterflies in the stomach) atau sentiasa berdebar-debar. Ada yang berasa panik atau mengalami mimpi yang menakutkan. Pengalaman dalam bentuk memori yang memedihkan atau menakutkan sering menghantui sesetengah orang yang mengalami keresahan dan mereka tidak berupaya untuk mengawalnya. Sesetengah yang lain pula sekadar mengalami rasa takut atau bimbang dimana sesetengahnya pula berasa takut kepada peristiwa atau tempat tertentu.

SIMPTOM-SIMPTOM

Simptom-simptom seseorang mengalami keresahan termasuk kadar denyutan jantung meningkat, bernafas lebih pantas, tidak tenteram, sukar menumpukan perhatian, sengal tubuh dan sukar untuk tidur atau tidur terganggu.

Selain pengambilan ubatan moden dan bantuan psikiatri, sebenarnya terdapat beberapa strategi lain yang boleh diamalkan bagi meredakan simptom-simptom keresahan termasuk memperbaiki teknik menangani sesuatu situasi dengan lebih baik termasuk dengan berusaha mempraktikkannya dalam kehidupan harian.

Dalam agama Islam misalnya, seseorang Muslim yang menjalani kehidupan harian berdasarkan panduan dan perintah ALLAH SWT (termasuk bersandarkan kepada sunnah Rasululah SAW) serta ikhlas melakukannya semata-mata kerana-Nya dikatakan biasanya tidak akan mudah mengalami rasa bimbang.

Terdapat ayat-ayat Quran yang menyatakan bahawa orang beriman tidak berasa khuatir misalnya seperti firman ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah ayat 277, ‘Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal saleh, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran (kebimbangan) terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.’ Mereka dalam ayat tersebut merujuk kepada orang beriman yang beramal saleh iaitu antara lain tekun sholat dan menunaikan zakat.

Di samping beriman dan yakin bahawa ALLAH SWT sebagai penyelamat utama termasuk membantu mencegah keresahan, usaha-usaha lain juga boleh dilakukan termasuk bersenam dan bersosial (bentuk yang dibenarkan syariat). Jika masih tidak boleh diatasi maka berusahalah berjumpa dengan pakar kaunseling yang Islamik.

MAKANAN

Daripada sudut pemakanan, simptom-simptom keresahan boleh diredakan dengan mengambil makanan tertentu.Kajian menunjukkan omega-3 (asid eicosapentanoic (EPA) dan asid docosahexanoic (DHA)) dan vitamin D memperbaiki paras kedua-dua neurotransmitter dopamine dan serotonin. Kedua-dua neurotransmitter ini menyediakan sifat merehatkan otak dan saraf secara keseluruhan. Ikan salmon dan minyak hati ikan kod (penokok diet) kaya menawarkan sumber baik untuk omega-3 dan vitamin D.

Teh chamomile, kunyit, serbuk koko atau coklat gelap, yogurt (tanpa perisa atau pewarna tiruan), oat dan teh hijau juga dikatakan dapat membantu. Makanan-makanan lain ialah pisang, biji chia, buah sitrus, lada benggala (bell pepper), beri biru dan badam. Makanan tinggi protein semula jadi seperti telur, daging (ambil secara sederhana) dan peroduk tenusu usah dipandang remeh.

Pasca skrip: Ruang yang terhad tidak membolehkan penulis menyenaraikan kajian dan sumber literatur untuk setiap makanan yang dicadangkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *