Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!
PETUA

Pukau manipulasi emosi dan persepsi mangsa.

Dalam artikel lepas penulis membawakan dua contoh kes pukauan kata-kata di mana kedua-duanya mengubah emosi dan kepercayaan atau persepsi mangsa.

Dalam artikel ini penulis menumpukan perbincangan kepada penilaian terhadap kes kedua yang mengisahkan bagaimana seorang pelajar kolej yang sedang terkocoh-kocoh berjalan menuju ke stesen bas begitu mudah menyerahkan wang kepada tukang pukau.

Ramai orang mengganggap diri mereka boleh menilai secara rasional apabila berhadapan dengan perkara yang memiliki pro dan kontra.Sebaliknya, kajian mendapati setiap orang termasuk individu jenis pemikir (thinker) menggunakan emosi untuk membuat pilihan pada saat menjelang membuat keputusan.Membuat keputusan berdasarkan emosi mudah berlaku terutama ketika seseorang sedang sibuk atau tergesa-gesa.

‘Pengutip derma’ dalam kes kedua tersebut dilatih mengambil peluang suasana kesibukan orang lalu-lalang dan memerangkap mangsa yang kelihatan tergesa-gesa.Oleh kerana tergesa-gesa beliau langsung tiada masa untuk mengesan situasi sama yang tersimpan dalam memori apatah lagi untuk menilai situasi yang sedang berlaku menggunakan logik.

PERASAAN BENTUK PERSEPSI

Sesungguhnya perasaan merupakan sejenis emosi dan perasaan membentuk kepercayaan- feeling is believing! Kepercayaan atau persepsi membantu anda membuat pilihan dalam kehidupan harian.Sesungguhnya setiap kepercayaan yang anda miliki terhadap sesuatu perkara dibina dalam minda bawah sedar.

Sebahagian ahli psikologi menggunakan istilah minda tidak sedar, bermula sejak anda lahir ke dunia. Rasa dikasihi, disayangi, selesa dan anda menyayangi ibu bapa yang membesarkan anda yang wujud dalam bentuk perasaan sebenarnya membentuk kepercayaan.

Remaja tersebut merasa selesa apabila mendengar istilah kolej, kata kunci berkuasa digunakan oleh ‘si pengutip derma’ yang mengubah persepsi mangsa.Perasaan tersebut secara automatik menjadikan beliau percaya kepada ‘si pengutip derma’ dan ketika itulah ‘si pengutip derma’ meminta (istilah hipnosis: cadangan) wang dan beliau dengan rela hati menyerahkannya.

Percaya atau tidak sebenarnya terdapat ramai orang yang tidak mudah dipengaruhi oleh sebarang bentuk pukauan misalnya oleh kata-kata seseorang yang tidak dikenali yang baharu pertama kali cuba berinteraksi dengan mereka.

Mereka sentiasa peka terhadap sesuatu yang berlaku di sekelilingnya termasuk apabila seseorang bertanyakan sesuatu atau menyampaikan info dengan pelbagai cara sama ada di alam nyata atau pun maya.Apabila mendengar atau membaca (alam maya) ayat-ayat yang disampaikan mereka segera memfokus kepada setiap patah perkataan yang disampaikan oleh orang yang cuba berinteraksi dengan mereka. Mereka juga menganalisa gerak-geri seseorang.

CURIGA

Pada masa sama otak mereka mencari memori dengan situasi serupa yang disimpan dalam minda bawah sedar.Jika tiada memori yang serupa, mereka akan menggunakan rasional dan segera bertindak dengan tidak melayan orang yang cuba berinteraksi jika mendapati sesuatu interaksi bersifat mencurigakan hati. Mereka akan segera bertindak dengan membalas dengan kata-kata sopan dan mengelak daripada bertentang mata (alam nyata) dengannya.

Bertentang mata untuk beberapa saat sahaja memudahkan tukang pukau menyampaikan mesej pukauannya. Bertentang mata adalah laluan utama ayat-ayat pukauan untuk sampai ke hati atau minda bawah sedar dengan mudah.

Pada pandangan penulis, seseorang yang membiasakan diri memberi perhatian terhadap nasihat atau peringatan orang/pihak berpengalaman tidak mudah dipukau dengan apa jua teknik yang digunakan oleh tukang pukau.Sebaliknya, individu yang bersikap mengambil mudah dalam menanggapi semua perkara dalam menjalani kehidupan, tidak proaktif dan tidak acuh dengan peringatan orang berpengalaman dipercayai mudah dipengaruhi oleh tukang pukau yang wujud dalam pelbagai bentuk yang dilakukan untuk pelbagai tujuan.

LEKA

Kajian mendapati individu yang mudah dipukau ialah mereka yang mudah tenggelam berfikir (leka) ketika melakukan sesuatu perkara atau aktiviti di mana pemfokusan mereka tidak mudah diganggu oleh realiti atau keadaan sekeliling.

Sebaliknya, individu yang kebal pukauan bersikap segera membuat pertimbangan (bersifat analitikal) apabila berhadapan dengan sebarang situasi. Selain itu mereka biasanya melakukan kerja dengan pantas dan tidak mudah percaya kepada orang.Untuk memastikan ia benar atau tidak, anda sendiri cuba perhatikan sifat-sifat tersebut pada diri sendiri. Sifat yang manakah yang menjadikan anda mudah termakan cakap (pukauan) orang, kategori pertama atau kedua?

Pemukauan tidak terbatas dengan penggunaan kata-kata. Malah ‘perkakas’ pemukauan lain iaitu penampilan, paras rupa, reka bentuk, bau, warna dan bunyi juga memainkan peranan. Ia digunakan dengan menggabungkannya dengan kata-kata atau dengan perkakas yang disebutkan.

Sesetengah wanita mudah jatuh hati dengan jejaka yang sering menampilkan diri dengan kehidupan serba mewah. Setujukah anda apabila dikatakan mereka terpukau dengan kekayaan jejaka itu?Kanak-kanak, komen selebriti (atau pengesahan oleh pakar), wanita seksi atau wanita jelita pula adalah elemen-elemen yang biasa digunakan oleh pengiklan untuk memukau pengguna.

PASCA SKRIP: Anda mungkin sebahagian daripada ramai pembaca yang membaca sebahagian besar artikel-artikel penulis secara tetap. Mengapa? Ia berlaku mungkin kerana anda terpukau dengan pengisian yang sering mamaparkan persepsi tersendiri yang mengubah persepsi anda atau sesuai dengan persepsi anda.credit:SH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *