Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!
KESIHATAN

Menyerang tak kira usia

Sukar bernafas, pernafasan yang tidak selesa atau lebih dikenali sebagai semput sering berlaku apabila menjelang usia emas. Ia masalah biasa yang berlaku dalam kalangan warga emas, namun boleh menyebabkan tekanan dan ketakutan bukan saja kepada pesakit, tetapi penjaga.

Menurut Pakar Perubatan Keluarga dan Ketua Pusat Pemeriksaan Kesihatan Hospital Beacon Dr Raja Ahmad Shaharul Raja Abdul Malek, adakalanya pesakit tidak pernah mengalami semput ketika muda, namun ia menyerang apabila menjelang usia tua.“Bahkan ia boleh menjadi lebih teruk. Semput adalah satu gejala yang mungkin menunjukkan masalah dari segi sistem pernafasan. Kebiasaannya, ia berkaitan dengan penyakit asma apabila mengeluarkan ‘bunyi berdehit’ apabila menghembus keluar udara ketika bernafas.

 “Namun, ada juga banyak keadaan lain yang boleh menyebabkan semput seperti lemah jantung, bronkitis, penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) dan sebagainya,” katanya.Ujarnya, serangan terjadi apabila tiub pernafasan menjadi sempit sekali gus menyebabkan pesakit lebih susah untuk bernafas.Warga emas lebih mudah mendapat semput disebabkan faktor usia, sistem pernafasan yang tidak sebaik dulu dan dipengaruhi penyakit lain hingga menjadikan masalah yang dihidapi bertambah teruk.

Ada pelbagai punca terjadinya sesak nafas. Ia mungkin disebabkan oleh pelbagai keadaan yang membabitkan paru-paru, jantung atau sistem pengaliran darah di dalam badan.Kejadian sesak nafas tidak dapat dijangkakan kerana banyak punca yang boleh menyerang pesakit. Namun, antara punca paling utama semput me­nyerang pesakit ialah persekitaran ataupun alahan.

Jika seseorang itu terdedah kepada asap dan sebagainya, ia mungkin boleh memulakan serangan semput. Ada juga pesakit yang boleh mengalami masalah berkenaan jika termakan jenis makanan yang memberi alahan kepada mereka.Secara amnya, gaya hidup seperti pemakanan, merokok dan pendedahan kepada persekitaran yang berasap serta jerebu akan meninggikan risiko individu itu mendapat serangan semput,” katanya.

Jelasnya, semput boleh mendatangkan bahaya kepada pesakit terutama warga emas kerana ia boleh menyerang secara tiba-tiba. Jika tidak bersedia, ia boleh menjadi satu situasi yang mencemaskan bukan saja kepada pesakit, tetapi juga kepada penjaga.

Padah menimpa jika semput tidak dikawal dan diberikan rawatan sewajarnya kepada pesakit dengan segera ketika ia menyerang. Risiko komplikasi semput kepada warga emas merangkumi banyak aspek dan paling ketara dari segi fizikal pesakit.“Individu yang mengalami masalah semput mudah lelah sekali gus menyebabkan mereka kurang melakukan aktiviti fizikal dan sukar membuat aktiviti harian lain.

Ada pesakit yang memerlukan oksigen apabila semput dialami terlalu teruk. Jika ia berlaku, pesakit perlu sentiasa bersiap sedia dengan ubat sedut (inhaler) dan tahu cara menggunakannya untuk menangani serangan semput ini,” katanya.Individu yang disyaki mengalami semput perlu berjumpa doktor dengan segera bagi melakukan pemeriksaan lanjut dan memberi rawatan sesuai mengikut keadaan pesakit.

Rawatan yang diperlukan untuk mengatasi semput bergantung kepada punca masalah berkenaan, ia boleh disebabkan pelbagai faktor. Justeru untuk mengatasinya, doktor perlu mengenal pasti semput boleh terjadi kepada pesakit berkenaan.

Apabila seseorang itu diserang semput, pertama sekali jangan panik. Berhenti melakukan segala aktiviti fizikal, cuba lakukan pernafasan dengan sempurna dan teknik betul.

Jika ada ubat sedut, sila ambil dengan cara yang betul. Selalunya, tindakan ini dapat mengawal keadaan serangan.Pada masa sama, minta pertolongan rakan atau ahli keluarga untuk dibawa ke hospital atau klinik berdekatan bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.

Kebiasaannya, pesakit akan diberi rawatan oksigen namun ia bergantung kepada punca serangan semput,” katanya.Ujarnya, semput mungkin boleh dicegah jika pesakit dapat mengawal penyakit sedia ada. Faktor persekitaran yang boleh meningkatkan risiko mendapat semput seperti jerebu, tempat berasap dan merokok perlu dielakkan.

Amalan pengambilan makanan sihat dan senaman yang sesuai juga penting untuk memastikan seseorang itu memiliki tubuh yang sihat.Selain itu, pemeriksaan yang dilakukan secara berkala terutama golongan warga emas juga membantu memantau keadaan kesihatan bagi memastikan penyakit lain yang boleh menyebabkan semput dapat dikawal dengan baik.

Tambahnya, pencegahan sebarang bentuk penyakit sentiasa memerlukan usaha jangka panjang termasuklah penyakit yang menyebabkan semput.Namun, bagi mencegah masalah semput dalam kalangan warga emas, pendidikan kesihatan perlu didedahkan sejak usia masih muda.

Gaya hidup sihat seperti makanan dan senaman yang bersesuaian selain kurangkan merokok, mengelakkan diri daripada terdedah kepada faktor persekitaran seperti pencemaran udara membantu mencegah serangan semput.Bukan hanya pesakit, malah ia perlu dibantu oleh masyarakat sekeliling. Menjaga kesihatan dari segi gaya hidup sihat ketika umur 30, 40 mahupun 50-an akan menentukan kesihatan seseorang apabila usia meningkat tua.

Begitupun, semput boleh menyerang tanpa mengenal usia, malah ramai orang yang sudah berusia mampu hidup sihat dan sejahtera.“Mentaliti masyarakat di negara ini berkaitan kesihatan dan penyakit kronik amat lemah. Ramai orang berpendapat penyakit kronik seperti masalah paru-paru, kencing manis dan darah tinggi akan dihidapi apabila usia meningkat senja.

“Fikiran seperti ini perlu diubah. Kita mempunyai pilihan untuk menentukan tahap kesihatan sendiri untuk menjalani hidup yang lebih gembira di usia emas,” tegasnya.sumber Hm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *