KESIHATAN

Kepentingan gula ketika hamil

Pelbagai reaksi diberikan apabila jururawat memberitahu yang ibu hamil perlu minum air gula yang sinonim dengan rasa manis ‘melampau’ selepas beberapa kali membuat pemeriksaan kandungan. Ada pula yang tidak pernah mengambilnya akan muntah dan terpaksa mengulang minum pada hari yang sama.

Tidak kurang juga beranggapan ia perkara biasa terutama mereka yang pernah melaluinya selepas melahirkan anak pertama dan kedua.

Bagi golongan ini, demi kesihatan bayi dalam kandungan apa saja yang diminta doktor perludilakukan.Dalam kalangan ibu hamil, minum air gula antara perkara perlu mereka lalui terutama bagi ibu yang mengalami kenaikan berat badan berlebihan dan mempunyai sejarah keluarga menghidap kencing manis.

Selain itu, ibu hamil yang berisiko menjalani ujian toleransi glukosa oral (OGTT) pada awal usia kandungan membabitkan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan atau BMI melebihi 30, pernah melahirkan anak bersaiz besar dan berat empat kilogram serta mempunyai diabetes mellitus.Walau apa juga tanggapan mengenainya, menurut Pakar Pemakanan Hospital Islam Az-Zahrah Siti Hajar Mustaffa, ujian toleransi glukosa bertujuan memeriksa bagaimana badan ibu mengawal tahap gula dalam darah.

Ujian ini digunakan untuk mengenal pasti penyakit kencing manis semasa hamil (diabetes gestasi) dan dijalankan terhadap wanita yang dilihat sangat berkemungkinan mendapat penyakit ini. Ia juga disebabkan kes diabetes dan obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia berada pada tahap serius. Manakala bagi ibu yang mendapat diabetes ketika hamil kebiasaannya akan berterusan selepas melahirkan anak.

“Tujuan OGTT dilakukan adalah untuk mengenal pasti kadar gula atau glukosa dalam tubuh sama ada kurang atau lebih sehingga mungkin mengakibatkan kemudaratan pada ibu dan bayi dalam kandungan. Namun sebelum menjalankan prosedur ini terdapat beberapa syarat yang perlu mereka penuhi antaranya ibu hamil disarankan berpuasa sehari bermula dari jam 10 malam,” jelasnya.

Untuk itu, ibu perlu berpuasa dan hanya boleh minum air kosong. Sebaik-baiknya ibu datang ke klinik sebelum jam 8 pagi bagi membolehkan ibu menjalani ujian darah sebelum mula meminum air gula. Sebelum itu, kira-kira dua hingga tiga mililiter (ml) darah diambil untuk diuji kandungan glukosanya.

Selepas mengambil darah, mereka perlu minum air glukosa yang disediakan pihak klinik. Lazimnya, jumlah air gula ini ialah 75 miligram glukosa di dalan 200ml air kosong. Kemudian ibu perlu menunggu selama kira-kira dua jam tanpa dibenarkan makan dan minum. Dalam tempoh ini, ada ibu berkemungkinan akan berasa loya, oleh itu dinasihatkan mereka berehat.

“Dua jam selepas minun air gula, sekali lagi ujian darah dilakukan bagi melihat tahap toleransi badan ibu terhadap gula dan mengetahui kandungan glukosa dalam darah. Secara umumnya, bacaan OGTT yang biasa diambil untuk ibu hamil di Malaysia sebelum minum air gula, kandungan gula normal di antara 3.0 mmol/L sehingga 5.5mmol/L.

“Bacaan gula selepas dua jam perlulah kurang daripada 7.8mmol/L . Kebiasaannya jika ibu memperoleh bacaan yang berhampiran mereka diminta melakukan ujian sekali lagi. Bagi yang mempunyai bacaan lebih daripada 7.8 mmol/L, mereka diarah melakukan ujian profil gula dalam darah atau BSP dan seterusnya mendapat nasihat doktor,” katanya yang menjelaskan ujian OGTT biasanya dilakukan pada usia kandungan 28 minggu ke atas.

Bagaimanapun, bagi ibu yang mempunyai sejarah keluarga menghidap diabetes atau pernah mengalami diabetes dalam kehamilan terdahulu, ujian ini dilakukan lebih awal iaitu sebaik saja disahkan hamil.

Diabetes semasa hamil

Menurut Siti Hajar, sangat penting ibu menjaga pemakanan sebaik disahkan hamil. Ini kerana kencing manis ketika hamil mendatangkan bahaya bukan saja kepada bayi tetapi ibu itu sendiri.

Bagi ibu yang menghidap kencing manis, gula berlebihan akan dipindahkan kepada bayi melalui plasenta dan ini menyebabkan saiz bayi sangat besar dan memberikan kesukaran ibu melahirkan anak.

“Apa yang lebih membimbangkan, bayi yang besar ini akan menyebabkan tulang bahu bayi tersangkut ketika proses kelahiran dan ibu berkemungkinan bersalin menerusi kaedah pembedahan,” katanya.

Bukan itu saja, walaupun paras glukosa darah ibu kembali normal selepas bersalin, perjuangan dalam menangani diabetes belum berakhir.

Menurut Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat, wanita hamil yang menghidap diabetes mempunyai lebih risiko sebanyak 20 hingga 50 peratus untuk menghidap diabetes jenis 2 dalam tempoh lima hingga 10 tahun selepas melahirkan bayi.

Sangat penting ibu mengawal pemakanan dan mengambil makanan sihat ketika hamil. Ini kerana gula, atau glukosa, terkandung dalam kebanyakan makanan yang diambil ibu. Ramai beranggapan ketika mengandung ibu perlu makan dua kali ganda iaitu untuk diri sendiri dan bayi mereka. Sebenarnya ia tanggapan yang salah.

Jelas Siti Hajar, ibu tidak perlu makan secara berganda bagi memenuhi keperluan dua individu. Apa yang perlu diketahui ibu mengandung memerlukan tambahan kira-kira 300 kalori sehari apabila kandungan memasuki trimester kedua bagi mendapatkan berat badan dan nutrien yang diperlukan untuk menyokong kehamilan berbanding ibu tidak mengandung.

“Apa yang diperhatikan, ibu hamil gemar memilih makanan berkalori tinggi tetapi rendah kandungan nutrien. Justeru, mereka digalakkan memilih makanan yang padat dengan nutrisi, vitamin dan mineral selari dengan kalori yang mereka perlukan. Pemakanan berkhasiat perlulah seimbang, pelbagai dan sederhana mengikut piramid makanan,” katanya.

Kurma, lemon, teh halia

Bagi yang mengalami alahan teruk dan tidak lalu makan ketika trimester pertama mereka perlu cuba untuk makan walaupun dalam jumlah sedikit. Makan sedikit tetapi kerap bagi mengelak perut kosong.Perut yang kosong boleh menambah loya disebabkan masalah angin dalam badan. Pemakanan dapat mengekalkan tahap gula secara stabil dalam darah.

“Jika loya, cuba makan makanan kering dalam jumlah sedikit sepanjang hari. Makan jenis makanan yang anda kehendaki saja dan elak daripada makanan berlemak, berempah, berasid atau bergoreng seterusnya mengurangkan makanan lemak. Ambil makanan kaya protein dan vitamin B seperti dadih. Makanan yang mudah dimakan dan dihadam seperti biskut juga boleh diambil.

“Simpan snek ringan seperti biskut tawar di sebelah katil. Sebaik saja bangun di waktu pagi, luangkan sedikit masa untuk makan biskut dan berehat sebelum turun dari katil. Ini dapat mengelak anda loya dan muntah sepanjang hari.
“Tulis dalam diari waktu anda berasa lebih teruk dan lebih baik. Selalunya terdapat pola harian dan terdapat waktu tertentu pada setiap hari untuk anda makan atau minum tanpa berlengah,” katanya.

Katanya, cuba minum di antara waktu makan terutama bagi mereka yang sukar minum atau sering muntah. Hadkan minuman semasa makan dan minum dengan kerap selepas itu.Dapatkan rehat secukupnya dan ambil masa rehat daripada bekerja jika perlu. Tekanan dan keletihan boleh membuatkan mabuk kehamilan lebih teruk. Sekiranya masih loya, hidu lemon atau tambahkan beberapa hiris lemon ke dalam minuman anda.

Teh halia juga baik untuk melegakan perut dan mengurangkan loya. Bagaimanapun, halia perlu digunakan dalam kuantiti sederhana dan dengan berhati-hati kerana ia juga tidak berkesan bagi sesetengah orang.Salah satu manfaat kurma kepada ibu hamil adalah ia dapat membekalkan tenaga kerana kurma mengandungi glukosa yang baik untuk badan. Mengambil kurma secara rutin dan teratur setiap hari sepanjang kehamilan sangat berguna untuk mencegah kelesuan.

Kurma juga mempunyai kandungan serat yang tinggi. Serat dalam diet kehamilan sering diabaikan, tetapi mengekalkan pengambilan serat yang mencukupi boleh membantu mencegah komplikasi semasa kehamilan seperti sembelit dan buasir.Menurut satu kajian dalam Jurnal Amerika Syarikat mengenai tekanan darah tinggi dalam isu Ogos 2008, diet tinggi serat pada awal kehamilan boleh mengurangkan risiko praeclampsia di akhir kehamilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *