Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!
TIPS

Ketahui bahaya tidur berdengkur

Setiap pagi Haslinda Hashim, 35, ke pejabat seperti seorang yang tidak cukup rehat. Setiap hari matanya sembap, wajahnya pula tidak bermaya. Lebih teruk, Haslinda tidak dapat menumpukan fokusnya kepada kerja kerana setiap lima hingga 10 minit pasti dia menguap.

Apabila ditanya alasannya berjaga malam kerana menyusukan bayi. Namun apabila hampir setiap hari dia memberikan jawapan sama akhirnya Haslinda tidak lagi dapat menyembunyikan rahsianya.“Suami saya mempunyai masalah dengkur yang serius. Dengkurannya sangat kuat sehingga mengganggu tidur saya. Ada kala apabila berdengkur badannya bergoyang sendiri. Boleh dikatakan sepanjang malam suami berdengkur dan hanya akan berhenti apabila terjaga dari tidur,” luahnya kepada penulis.

Haslinda sudah cuba memberitahu suaminya malah dia turut merakam suara ketika suami berdengkur namun tidak diendahkan. Malah bunyi dengkuran bertambah kuat apabila dia terlalu penat atau tidur selepas melakukan kerja.

Pernah juga mereka bergaduh kerana masalah ini dan tidak bertegur sapa selama beberapa hari. Lama-kelamaan kerana tidak mahu hubungan mereka terganggu, Haslinda reda dan membiarkan masalah dengkuran itu berterusan mengganggu hidupnya.

Menurut Pakar Kecantikan Estetik Klinik Premier Dr Jaswine Chew, dengkuran bukan sahaja mendatangkan masalah kepada pesakit, tetapi juga individu yang berada di sekeliling mereka terutama pasangan.

Dengkuran ialah bunyi pernafasan yang kuat dan bising ketika tidur. Jika seseorang itu berdengkur, ia menandakan saluran pernafasannya terhalang seketika. Ini disebabkan halangan dalam saluran pernafasan. Getaran tisu pada bahagian kerongkong menyebabkan bunyi dengkuran itu muncul.

Kira-kira 50 peratus individu berdengkur dan ia dianggap perkara biasa. Namun apabila mengganggu tidur orang lain dan juga menyebabkan kualiti tidur terganggu, itu menandakan individu berkenaan memerlukan rawatan bagi mengatasi atau setidak-tidaknya mengurangkan dengkurannya.

“Ramai tidak tahu berdengkur mengakibatkan seseorang tidak mendapat kualiti tidur yang diinginkan. Ketika berdengkur badan sebenarnya tidak mendapat rehat secukupnya. Akibatnya mereka mudah mengantuk pada siang hari, kerap tidur, kelihatan tidak bermaya dan tidak boleh fokus pada kerja,” katanya.

Punca berdengkur

Menurut Dr Jaswine, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan seseorang itu berdengkur. Selain masalah sinus, perbezaan anatomi struktur mulut menjadi punca kepada tahap dengkuran seseorang.Berdengkur juga kerap dialami mereka yang minum alkohol, alahan pada cuaca sejuk dan mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

“Apabila lelangit lembut dalam keadaan tebal dan rendah serta mempunyai tonsil yang terlalu besar, ia menyebabkan tekak menjadi kecil pada bahagian belakang. Keadaan ini menyebabkan getaran berlaku sehingga mengeluarkan bunyi yang kuat,” katanya.

Bagi individu yang mempunyai berat badan berlebihan bunyi dengkuran terhasil apabila tisu di bahagian atas saluran pernafasan bergesel dan bergetar antara satu sama lain. Begitu juga mereka yang minum minuman beralkohol sebelum tidur akan menyebabkan otot bergetar dan menghasilkan bunyi dengkuran.

Tambahnya, berdengkur boleh dialami sesiapa sahaja sama ada lelaki, wanita atau kanak-kanak. Bagi kanak-kanak berdengkur boleh menjadi tanda masalah tonsil.“Oleh itu kanak-kanak yang kronik berdengkur perlu diperiksa oleh otolaringologis, yang boleh mencadangkan tonsilektomi untuk mengembalikan kanak-kanak itu kepada kesihatan yang normal,” katanya.

Rawatan untuk dengkur

Dengkuran yang serius perlu dirawat kerana ia boleh membahayakan kesihatan dan menyebabkan komplikasi seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung, strok dan aritmia (denyutan jantung tidak teratur).

Bagi individu yang tidak mendapat tidur berkualiti, mereka mudah mengantuk pada waktu siang, sakit kepala pada sebelah pagi, keletihan, cepat marah dan mengalami gangguan konsentrasi.

Terdapat rawatan laser Fotona iaitu laser intraoral bagi mengurangkan dengkuran dengan berkesan. Ia pilihan yang tepat kerana rawatan ini tidak menyakitkan dan tidak membabitkan risiko pembedahan.

“Sebelum melakukan rawatan keadaan pesakit akan diperiksa terlebih dahulu. Selepas itu sejenis alat akan diletakkan di dalam mulut pesakit dan menerusi cahaya laser ia akan membuka saluran pernafasan farinks yang sempit di satu bahagian hidung, mulut dan tekak.

Untuk menyelesaikan masalah berdengkur, laser Fotona akan meningkatkan saiz saluran udara dan mengurangkan pergolakan tisu sehingga bunyi dengkuran tidak lagi kedengaran,” katanya.

Tambah Jaswine lagi, rawatan Fotona menggunakan kaedah laser lembut yang memanaskan tisu di belakang tekak untuk membolehkan udara mengalir dengan lebih bebas. Laser ini mempunyai kesan pengetatan disebabkan pengecutan kolagen dalam tisu mukosa mulut.

“Apabila tisu lembut farinks mengecut, saluran udara mengembang dan getaran tisu lembut farinks terhenti. Ia dapat mengurangkan kesan apnea tidur dan amplitud dengkuran,” katanya.

Mereka yang mempunyai masalah dengkur perlu menjalani tiga sesi rawatan berasingan dalam tempoh enam minggu bagi mendapatkan kesan yang optimum. Hasilnya bertahan sehingga setahun dan terapi boleh diulang selepas itu.

Penyelidikan membuktikan laser Fotona berupaya mengurangkan intensiti dan tempoh dengkuran. Pesakit akan mendapatinya mereka lebih selesa dan nyenyak.

“Rawatan ini juga tidak menyakitkan, mudah dan selamat. Tiada masa pemulihan dan pesakit tidak perlu memakai alat ketika tidur. Apa yang penting selepas rawatan pesakit dinasihatkan minum banyak air bagi mengurangkan rasa kering,” katanya.. credit HM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *