Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!
TIPS

Resiko ubat tiruan


Penjualan ubat-ubatan tiruan tetapi menggunakan jenama tulen di pasaran memang tidak asing lagi di negara ini, malah perhatian khusus perlu diberikan terhadap ancaman ubat-ubatan palsu dan tidak bermutu itu. Kerajaan dan sektor awam khususnya perlu meneliti masalah ini dengan lebih aktif.

Terdapat banyak ubat-ubatan palsu di pasaran yang jelas tidak bermutu, mengandungi bahan berbahaya dan label dipalsukan yang boleh membahayakan nyawa pengguna. Pasaran ubat-ubatan palsu adalah bahaya sebenar, jelas dan wujud dalam kesihatan awam.Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 10 peratus produk ubat-ubatan palsu kini menguasai pasaran seluruh dunia.

Senario itu berpunca daripada sikap pengguna yang gemar membeli produk murah sehingga meningkatkan penawaran produk berkenaan di pasaran,Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Mazlan Ismail berkata, bagi membendung penjualan ubat palsu atau tidak berdaftar daripada terus berleluasa, pelbagai langkah dijalankan termasuk kempen pendidikan kepada pengguna.

Katanya, kebanyakan ubat berkenaan biasanya mengandungi sukatan bahan kimia berlebihan dos, sekali gus boleh menjejaskan kesihatan pengguna“Ubat palsu ini wujud kerana peniaga haram mahu mengaut keuntungan berdasarkan keyakinan pengguna terhadap ubat tulen yang sudah teruji keberkesanannya.

“Mungkin disebabkan harga yang terlalu murah menyebabkan pengguna terpedaya dan akhirnya memberi kesan buruk terhadap kesihatan mereka. Sebab itu pengguna perlu mengenal pasti sama ada ubat-ubatan yang dibeli tulen atau tidak dengan membuat semakan nombor pendaftaran KKM dan pelbagai ciri lain di laman web Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM,” katanya pada majlis pelancaran kempen Pilih Ubatan Tulen anjuran Caring Pharmacy (Caring) dengan sokongan KKM dan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), baru-baru ini.

Beliau menegaskan, produk palsu boleh menyebabkan kematian kerana ia berkemungkinan tinggi mengandungi bahan berbahaya seperti merkuri, arsenik, kadmium atau plumbum.

Bahan ini boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dan membawa maut. Tambahan pula, produk berkenaan mungkin dihasilkan di premis tidak berlesen yang tidak menyediakan persekitaran yang bersih seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Semua produk farmaseutikal di Malaysia perlu berdaftar dengan KKM sebelum dipasarkan kepada pengguna. Produk berdaftar mempunyai dua ciri iaitu nombor pendaftaran (contoh MAL20085264A) dan label hologram Meditag. Produk ini akan dinilai dari segi kualiti, keberkesanan dan keselamatannya untuk pengguna.

Pengguna boleh menyemak status pendaftaran semua produk farmaseutikal di portal ini dengan klik ikon ‘Semak Pendaftaran Produk’. Carian produk berdaftar boleh dibuat dengan menggunakan nama produk, nombor pendaftaran, nama pemegang pendaftaran, bahan aktif atau nama pengilang.

Jika produk berkenaan adalah produk berdaftar, status pendaftaran akan dipaparkan. Selepas memeriksa nombor pendaftaran, pengguna dinasihatkan untuk menyemak kesahihan label hologram melalui ahli farmasi di hospital, klinik atau premis farmasi berdekatan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Caring, Chong Yeow Siang berkata, komuniti farmasi kini memainkan peranan penting dalam mendidik orang ramai mengenai ubat-ubatan yang diambil. Akses kepada ubat-ubatan semakin lebih mudah, ada kemungkinan masyarakat mendapat ubat-ubatan palsu.

“Sejak penubuhan Caring 21 tahun lalu, farmasi ini sentiasa menekankan integriti dalam perkhidmatan farmasi kepada masyarakat. Kempen ini bertujuan mendidik masyarakat mengenai pentingnya memilih ubat-ubatan yang tulen daripada sumber yang mematuhi keperluan undang-undang sehingga ke penyimpanan yang betul sebelum penggunaan.

“Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peningkatan eksponen di komuniti farmasi di Malaysia menjadikan pasaran yang sangat kompetitif, menyebabkan strategi harga rendah dengan sedikit masa dan kos yang dilaburkan dalam meningkatkan profesion komuniti farmasi.

“Pengguna menjadi lebih ‘berkira’ terhadap harga berbanding memberi penekanan kepada perkhidmatan yang profesional daripada ahli farmasi, mengakibatkan ‘ubat palsu lebih murah’ yang disediakan sebagai tindak balas kepada permintaan pasaran,” katanya.

Justeru, katanya, sebagai kumpulan farmasi terkemuka di Malaysia, Caring bertanggungjawab mendidik masyarakat untuk mengatakan tidak kepada ubat-ubatan palsu dan berwaspada terhadap produk substandard daripada sumber yang tidak dapat disahkan.

Mesej kempen ini akan digalakkan secara meluas dalam bentuk poster dan bahan pendidikan di semua cawangan caring,laman wab dan media sosial.Syarikat itu akan menyebarkan khidmat masyarakat ini secara bertarusan melalui stesen radio tempatan unruk mewujudkan kesedaran awam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *