Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!
TIPS

Elak kan diri daripada obesiti

Obesiti ialah masalah kesihatan yang sering dibincangkan di seluruh dunia terutama di Asia kerana ia kini dilaporkan menjadi masalah nombor satu di Asia.
Ia menjadi satu masalah besar dalam kalangan lelaki mahupun wanita termasuk kanak-kanak. Obesiti adalah satu penyakit yang kompleks dan berlaku apabila terdapat lemak berlebihan pada tubuh hingga menyebabkan individu itu mengalami berat badan berlebihan.
Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Tahun 2011 mendapati seramai 33.3 peratus rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas berada dalam kategori praobes manakala 27.2 peratus adalah obes.

Secara umumnya lelaki yang mempunyai peratus lemak melebihi 25 peratus dan wanita melebihi 35 peratus dikategorikan sebagai obes. Di Malaysia, obesiti boleh dikenal pasti mengikut berat badan seseorang berdasarkan ukuran Indeks Jisim Tubuh (BMI).
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kadar BMI yang normal antara 18.5 hingga 22.9 kilogram (kg) bagi penduduk Asia. Jika BMI melebihi 23kg, ia dianggap berat berlebihan manakala BMI melebihi 27.5 kg dikategorikan sebagai obes.
Pakar Runding Perubatan Gastroenterologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr P Rajesh Kumar berkata, begitu mengejutkan apabila peratusan wanita yang mengalami masalah obesiti lebih ramai berbanding lelaki.
“Pesakit obesiti dalam kalangan wanita adalah 22.5 peratus manakala lelaki 14.1 peratus. Wanita dikatakan lebih cenderung mendapat obesiti disebabkan hormon dan gaya hidup yang sedentari (individu yang banyak melakukan kerja sambil duduk).
“Selain itu, risiko mendapat obesiti juga boleh terjadi dalam kalangan sesetengah wanita disebabkan kehamilan,” katanya.
Namun, secara umum salah satu punca utama masalah obesiti adalah amalan diet pemakanan yang tidak sihat tanpa mengira jantina. Ini termasuk pengambilan makanan secara berlebihan dan hidangan yang tinggi lemak serta gula, melebihi daripada jumlah diperlukan setiap hari.
Secara purata, kita dibolehkan mengambil 50 gram gula dalam sehari, namun kebanyakan rakyat negara ini mengambil lebih daripada jumlah berkenaan.
Dr P Rajesh menyarankan pengambilan hidangan dalam kuantiti yang sedikit, namun masih mengikut jadual pemakanan yang konsisten setiap hari.
Dianggarkan, setiap individu hanya memerlukan 1,600 hingga 2,400 kalori sehari, bergantung kepada jantina dan aktiviti yang dijalankan. Pada masa sama, kurang aktif dan tidak bersenam juga menjadikan masalah berat badan serta obesiti meningkat dalam kalangan masyarakat pada hari ini.
Jika tidak mampu bersenam setiap hari, sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu selama 20 hingga 30 minit sudah memadai. Selain itu, terdapat juga sebab lain yang boleh menyebabkan masalah obesiti antaranya faktor usia, jantina, genetik, penyakit dalaman dan pengambilan ubat tertentu seperti steroid.
Kesan obesiti
Tidak dinafikan, obesiti boleh membawa kepada implikasi buruk lain terhadap kesihatan individu itu sendiri. Obesiti boleh meningkatkan risiko mendapat penyakit lain seperti kencing manis, hati berlemak, sindrom metabolik, masalah tidur dan kesukaran untuk bernafas.
Malah, pesakit juga berisiko untuk mendapat penyakit lain seperti strok, jantung koronari, lemah jantung, darah tinggi, gout dan sakit sendi.
“Apabila membicarakan isu obesiti dalam kalangan wanita, mereka berisiko tinggi mendapat masalah jantung apabila sudah putus haid.
“Wanita dengan obesiti juga berisiko 27.3 kali lebih tinggi menghidap masalah jantung dan lima hingga sembilan kali lebih tinggi diserang darah tinggi serta kencing manis berbanding lelaki.
“Bukan itu saja, obesiti dalam kalangan wanita juga menyumbang kepada risiko masalah kesuburan selain kanser rahim, pangkal rahim, payudara dan usus,” katanya.
Pencegahan dan rawatan obesiti
Obesiti boleh dicegah melalui penjagaan diet seimbang, tabiat pemakanan yang sihat dan aktif bersenam.
Kawalan pemakanan
Pengambilan makanan yang mempunyai kalori rendah dan kurang lemak sangat penting dalam strategi untuk menurunkan berat badan.
Sekiranya individu itu dapat mengurangkan pengambilan kalori sebanyak 500 hingga 1,000 kcal sehari, ia dapat membantu mengurangkan berat badan sebanyak lapan hingga 10 peratus dalam tempoh enam bulan.
Bagi mereka yang berada dalam kategori obesiti peringkat sederhana hingga teruk, pengambilan kalori yang lebih rendah membantu mencapai penurunan berat badan yang cepat tetapi memerlukan pengawasan daripada pengamal perubatan.
Namun, kaedah ini tidak sesuai bagi mereka yang mengalami masalah kencing manis, strok, penyakit hati, buah pinggang dan juga individu yang baru mengalami serangan jantung.
Senaman
Senaman memainkan peranan penting dalam proses penurunan berat badan. Senaman dapat mengubah komposisi badan, mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit dan meningkatkan kualiti kehidupan.
Sebelum pesakit obesiti memulakan program senaman, mereka perlu mendapatkan pemeriksaan doktor untuk menentukan tahap kesesuaian senaman berdasarkan umur, risiko penyakit dan hasil pemeriksaan fizikal.
Program senaman perlu dimulakan secara beransur-ansur. Senaman secara sederhana selama 30 minit setiap hari boleh diamalkan untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit seperti jantung dan kencing manis.
Bagi membantu mengekalkan berat badan selepas berlakunya penurunan berat badan, pesakit memerlukan senaman secara sederhana selama 60 hingga 90 minit sehari.
Terapi tingkah laku
Terapi tingkah laku dapat membantu pesakit obesiti dalam rawatan penurunan dan mengekalkan berat badan. Antara matlamat terapi tingkah laku adalah untuk mengubah gaya dan cara pemakanan seseorang.
Ia dapat dicapai melalui sesi kaunseling pemakanan, kumpulan sokongan dan pemantauan diri sendiri terhadap gaya hidup yang sihat.
Perubatan
Kaedah ini boleh dipertimbangkan bagi mereka yang obes dengan BMI melebihi 30 dan apabila kaedah rawatan lain tidak berhasil.
Antara kaedah rawatan ialah pemasangan belon di dalam perut, pembedahan seperti pintasan perut, gastroplasti dan pembedahan secara laparoskopi dengan memasukan alat seperti cincin bagi mengecilkan saiz perut.
Kaedah sedutan lemak di bahagian abdomen bukan kaedah rawatan untuk obesiti tetapi untuk tujuan pembuangan lemak. Kebanyakan ubat yang diperkenalkan untuk tujuan pembuangan berat badan dilarang pengunaannya oleh FDA.
Secara umumnya, tujuan rawatan untuk pesakit yang mengalami obesiti untuk:
-Mencapai penurunan berat badan dengan cara yang betul dan selamat.
-Mengekalkan berat badan seimbang.
-Menghalang pertambahan berat badan secara mendadak.
-Merawat penyebab kegemukan kepada pesakit.
-Penurunan berat badan yang disyorkan pada peringkat permulaan adalah sebanyak 10 peratus daripada berat badan asal iaitu penurunan sebanyak 0.5 hingga satu kilogram seminggu dalam tempoh enam bulan.
Penurunan yang selanjutnya boleh dilakukan selepas matlamat awal penurunan berat badan ini dicapai. Namun, penting mengelakkan penurunan berat badan secara mendadak kerana terdapat peningkatan risiko pembentukan batu hempedu, ketidakseimbangan garam di dalam badan dan risiko berat badan kembali kepada asal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *